Entri ni macam panjang je..ceritanya pun macam bercelaru sikit mama rasa, ini mama rangkumkan cerita kerana ada yang bertanya sebelum-sebelum ni.. entri yang mengambil masa yang agak lama untuk ditulis nih, berminggu-minggu nak siap.
Pemergian mereka hanya berselang sebulan 1 hari..semasa pemergian mereka... paksu darjah 5, pakcik tingkatan 3, makdak tingkatan 5. 3 orang masih bersekolah dan 2 orang akan menghadapi peperiksaan besarkan. tapi dah itu janji Allah ia pasti akan terjadi samaada kita bersedia atau tidak, kalau diikutkan mama memang tak bersedia lagi untuk kehilangan mak dan ayah tapi itulah suratan takdir dari Allah dan kita redha dengan ketentuanNya.
Disebabkan adik-adik masih bersekolah, maktam berkorban dengan berhenti kerja dan menjaga adik-adik sehingga mereka tamat persekolahan dan peperiksaan. memandangkan waktu pemergian arwah ayah pada bulan ramadhan, kepulangan mama pada syawal tahun itu..tiada lagi wajah mak dan ayah yang menyambut dimuka pintu hanya ada wajah adik-adik...sayuuu...hati ini makin sayu. Persiapan raya pun kelam kabut, takde dah suasana membakar lemang sebelum syawal, itulah kali pertama kami pergi belajar buat ketupat palas dengan makcik depan rumah sehari sebelum raya.
Habis persekolahan adik-adik semua kami bawa datang sinilah dan bersekolah disini. Masa tu paksu darjah 6, paksu duduk dengan ibu(kakak sulung), pakcik ting.4 duduk dengan mommy (adik bawah mama no.4), makdak dah habis spm duduk dengan mama. Masa tu mama bujang lagi belum kawin dan masa mak ayah meninggal tu mama memang dah jumpa en.azmi pun, tapi takdelah perancangan nak berkawin pun lagi kan. Lepas tu bawa en.azmi jumpa ibu dengan aboh je la(kakak dan abang ipar mama).
memandangkan adik-adik ada yang masih bersekolah waktu tu, perbelanjaan mereka kakak-kakaklah yang tanggung, tapi kita tahulah siapa yang banyak menanggung antara semua yang ada ni kan. selebihnya kami ni anak felda jadi dapat duit dari hasil ladang setiap bulan, dari situlah juga digunakan buat perbelanjaan adik-adik yang masih bersekolah waktu tu. Alhamdulillah...syukur sebenarnya punya abg ipar(aboh) dan adik ipar(daddy) yang tak pernah berkira, boleh menjaga adik-adik ipar. Paksu duduk dengan ibu sampai spm, pakcik duduk dengan mommy sampai belajar di kolej dan bekerja. Lepas tu baru pakcik dapat belajar di kolej sains kesihatan sultan azlan shah tu.Masa pakcik belajar ni memang guna duit felda yang dapat setiap bulan, kalau ada nak top up pun biasanya Makngah lah yang top up, yang lain-lain top up sikit2 bolehlah.
Yang terpapar banyak cerita gembira mama adik-beradik,tapi banyak juga cerita sedih yang memang tak dapat nak dikongsikan disini. Tapi semuanya dapat kami lalui bersama-sama inshaAllah. Tapi biasalah juga dalam ramai-ramai tu banyak kepala banyak juga akal dan kerenahnyakan, ada yang begitu perangainya dan yang begini mulutnya. Bagi mama senang je, kita tak boleh nak ubah orang yang kita boleh buat ubah diri sendiri. Biarlah yang mulut potpet pun kita sabar je yang penting hubungan kita jangan sampai terputus, kalau dah semua nak berbahas cakap dan nak menang susah jugakkan, bila kita dah tahu perangai masing-masing jadi mudahlah, jangan nak cepat sentap sangatkan. Kata ustaz yang pernah bagi ceramah "kalau kita ni mudah sentap dan mudah berkecil hati dengan orang, kena kena check hati kita sendiri, mungkin masalahnya berpunca dari hati kita.. wallahu'alam".
Masa pemergian arwah mak, semua balik kampung masa tu kecuali mama..bila diingat balik memang sedih, waktu tu memang nak balik kampung tapi mama lewatkan sehari sebab ada family day ofis. tapi percayalah sepanjang hari tu pun hati rasa tak sedap, malam tu kakak mesej(whatsapp takde lagi waktu tu) kata ibu "mak sesak nafas tapi ok je takde apa-apa" rupanya waktu tu kan mak dah takde pun, dorang taknak bagitahu mama sebab taknak mama drive sorang2 balik kampung. Pukul 4 pagi sepupu ambik mama dirumah sewa waktu tu memang mama tak syak apa-apalah, sepupu pun tak de bagitahu apa-apa sedangkan dorang suami isteri dah tahu tu mak dah takde, dua2 pakat buat rilek ajak sembang. sampai rumah tengok orang ramai tapi mama takde syak apapun sampailah makcik sebelah rumah datang peluk sambil nangis cakap mak dah takde, masa tu mama baru tahu okeh mak dah takde yang lain semua buat senyap jek. yang paling ingat waktu tu ada sorang pakcik ni cakap "takde dah orang yang baik macam mak hangpa" tersentuh sangat hati ni sebab orang kenang akan kebaikkan mak kita.
Ayah pulak..masa tu mama dengan maktam duduk sekali, nak buka puasa nih tak sempat suap makan ke mulut makdak call masa tu cakap ayah dah takde, masa ni memang mama nangis sungguh-sungguh.. Ya Allah kenapa uji aku macam ni?? masa tu dah tak sedar diri kan sebab rasa macam eh baru je ambik mak sekarang ambik ayah pulak.. aku belum bersedia ya Allah...tapi kau bersedia atau tidak itu janji Allah setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, ajal itu datang tanpa sesaat cepat atau lewat ia datang pada waktunya.. mama tak mampu nak drive dah tunggu abah dan ibu datang ambik je. Memandangkan waktu puasa, sahur tu kami makan di rumah jiran sebelah je tu pun tak makan sangat sampaikan nak menunggu berbuka tu mengigil badan nak ambik semut pun tergigil tangan ko... sebelum meninggal ayah sempat lagi memasak juadah untuk adik-adik berbuka..
Selepas mak ayah meninggal apa yang kami buat kami adik-beradik terus uruskan bab harta yang ada bukanlah harta pun arwah mak ayah bukan orang berharta pun ada tak ada tapak rumah dan ladang tu je lah. pergi pejabat tanah dan angkat sumpah semua tentang pembahagian harta (hartalah sangatkan) eh jangan dibuat main walaupun kita asa sikit je hasil felda tu tapi tetap perlu diuruskan dengan betul, nak pulak bahagian adik-adik yang belum cukup umur bahagian anak yatim tu jangan dibuat main. kami setuju untuk dibahagikan mengikut faraid. penama sebagai pemegang amanah adalah makngah, ini memang arwah ayah selalu sebut apa-apa hal dia nak makngah uruskan, kami takde bantahan tentang itu, lebih mudah macam mama malas nak fikir bab duit nih lepas tu nak kira-kira lagi dan agih-agih lagi..aaaahhh leceh je biar yang layak saja uruskan.
Sedihnya hati lebih-lebih lagi waktu nak kawin dan masa sakit nak bersalin. Masa mama nikah dulu pakjang lah yang jadi wali, majlis kat rumah cuma buat nikah je dan makan-makan sikit, pelaminpun buat sendiri bagi cukup syarat tu pun bersila je pelaminnya hehehe. lepas tu yang besar dan jemput kawan-kawan semua buat dekat rumah en.azmi. Masa mengandung pertama dan masa sakit nak bersalin tu sedih sangat ehh tapi masa nak bersalin ketiga-tiga anak mama tu semualah sedih, semua urus berdua je dengan en.azmi, masa sakit tu memang teringat sangat dekat arwah mak, ini kalau mak ada boleh jugak urut-urut belakang dan manja-manja dengan mak ngadu-ngadu sambil nangis... hehehe sebab mama kategori manja jugaklah dulu kalau demam je mesti tidur dengan mak, mak picit kepala mak picit kaki, sampaikan makngah pun geram jek "eh dia ni kalau demam aku menyampah sungguhlah manja je lebih" kuikuikui..tapi anak manja mak ni lah yang tak sempat jumpa mak buat kali terakhir..takpelah dah rezeki mama macam tu kan.
Masa makdak kawin, kami buat kenduri dekat rumah ibu je, lagipun suaminya (pakdak) duduk PJ je jadi tak perlu buat dekat kampung. Buat dekat sini lebih dekat, mulanya kami nak buat kecik-kcik je buat majlis nikah je, tetiba jiran-jiran ibu sponsor khemah,kuih-muih dan macam-macam lagi, majlis yang mulanya kecil terus jadi besar, alhamdulillah semuanya cukup, mama siap jemput jiran-jiran mama datang lagi masa tu, jiran-jiran masa rumah lama la. Masa majlis akad nikah tu rasa sayu je hati..entahlah mungkin macam tu lah agaknya perasaan seorang mak dan ayah bila nak melepaskan anak daranya ke tangan lelaki lain, makdak ni kiranya adik perempuan mama yang paling keciklah. sekarang yang tinggal makngah dan maktam yang belum berkahwin, yang lelaki 3 orang tu pun belum lagi sampai jodoh mereka, inshaAllah moga ada jodoh mereka satu hari nanti. mama pun kawin dah lewat juga dulu, umur 30 baru bertemu jodoh ecehh..
Makngah, ibu, mama, mommy,pakdak,makdak,maktam |
Ini masa makdak nikah 4 tahun yang lepas,pelamin ni pun kawan ibu yang sponsor. Alhamdulillah rezeki dari Allah memang banyak dapat sponsor dari kawan-kawan.dan jiran ibu ni. Pesan arwah mak, adik-beradik ni walau bergaduh macammana pun jangan sampai putus hubungan. Kalau ada yang tengah marah, yang lain kena bersabar walaupun yang banyak bersabar tu boleh buat makan hati berulam jantung... InshaAllah ganjarannya pasti ada. Begitu juga sikap arwah mak ketika hidupnya dulu, orang pulaukan orang taknak bercakap sebab ada geng-geng macam tu, arwah tetap tegur dan bercakap dengan semua orang, tak pernah burukkan jiran lain depan jiran lain, habis sangat kalau tak tahan sabar dengan sikap orang sekeliling mak hanya bercerita dengan anak-anak je.
Arwah ayah pun macam tu baik sangat dengan mak, ayah bukanlah suami yang hanya tunggu makanan terhidang tapi ayah sama-sama tolong mak buat kerja bila mak sibuk dengan anak-anak. Pinggan tolong basuh, kain baju tolong sental..masa tu manalah ada mesin basuh lagikan. Sampaikan kasut sekolah anak-anak pun ayah tolong basuh..ehemmm kasut mama ler tu hehehe. Tak pernah tengok mereka bergaduh ada tak ada pun sekali je, itupun disebabkan orang lain...ingat lagi peristiwa tu kikiki anak-anak berebut nak tengok tv bergaduh depan tv last-last pak berahim datang bawak kapak nak kapak tv tu ko...mak limah lari dari belakang. Kapak yang tengah diangkat tu mak pegang dari belakang, dapat bayang tak situasi tu??? Hahaha...kecut perutlah memasing, ayah tak cakap banyak tapi kita tahu ayah sayang kita.
Ehhh banyak lagi kalau nak cerita nih..mama stop dulu lah sebab airmata tak boleh nak stop pulak.
Sekian dari anak manja mak dan ayah
Wassalam
Kenangan buat kita dekat dengan insan yang telah tiada...
ReplyDeleteSedihnya baca kisah Ilah.Mujurlah masa mak ayah Ilah dah tak ada ,ada yang besar utk menjaga adek2.Teringat akak pada sepupu2 yang senasib dgn Ilah. Ayah mereka meninggal dulu ,selang 100 hari mak nya mengiringi pula.Mereka 6 beradek dan ada yang masih bersekolah lagi.Masa yang sulung kawen pun buat kat rumah makcik sebab xde siapa nk uruskan.Tentang perbelanjaan ,selain ada yg dah kerja,mereka juga anak felda seperti Ilah.Dapatlah mereka menampung perbelanjaan adek2 belajar.
ReplyDeleteMata masuk habuklah baca citer mama ni. Moga silaturrahim mama & adik beradik kekal selamanya. Kita memang salute dgn mama & adik beradik ni.
ReplyDeleteBiasalah tu kalau ada terasa hati dgn adik beradik, bagai ribut dalam cawan kata orang :) biarlah di simpan sendiri. Busuk2 pun sedarah sedaging juga. Tapi adik beradik mama ni nampaknya semua 'wangi2' belaka :)
Moga mama terus kuat. Al fatihah utk arwah orang tua mama & utk arwah ayah kita juga. Moga mereka ditempatkan dikalangan para solihin. Aamiin.
Ana doakan semoga hubungan adik beradik akak kekal harmoni dan bahagia sampai bila2 . Berat ujian akak adik beradik namun terbukti korang semua kuat hadapi semua bersama.
ReplyDeleteAl-fatihah buat kedua ibu ayah akak. Semoga mereka ditempatkan bersama org2 yg beriman. Amin.
Sayu hati saya membaca nukilan AA kali ni sebabnya saya dalam selami perasaan kehilangan insan yang kita sayangi bila kita rasa yang kita belum bersedia menghadapinya. Bezanya, dugaan AA adik beradik lebih besar berbanding dengan saya yang hanya kehilangan seorang ayah yang dikasihi. Semasa saya remaja, saya selalu berfikir sebelum tidur malam, macamana rasanya kalau mak atau ayah meninggalkan saya? Mampukah saya menghadapi. Geleng kepala sambil menitis air mata sebab tak boleh bayangkan hidup tanpa emak atau ayah. Bila ayah saya meninggal, 6 tahun saya ambil untuk mengubat hati kehilangan seorang ayah. Sehingga kini pun saya tak mampu bercerita kisah ayah sebab air mata tak pernah gagal mengalir bila berbicara tentang insan paling berharga dalam hidup saya.
ReplyDeleteAlfatihah buat insan-insan tersayang yang telah meninggalkan kita...
Bersedia atau x, waktu itu tetap akan tiba kan.. Yg lebih menyedihkan perginya mereka dkt nk puasa.. Hebat dugaan buat adik beradik kak lah.. Ada hikmah disebalik semua yg berlaku ni kan.. Allah ambil org yg baik2 sbb Allah syg mereka.. Al fatihah buat mak ayah kak lah.. Semoga roh mereka ditempatkan dikalangan org2 yg beriman dan beramal soleh.
ReplyDeleteAlhamdulillah hubungan adik beradik tetap utuh
ReplyDeleteSeronoknya bila adik beradik yang mudah muafakat ni. Apa-apa pun dibawa berbincang, tolong menolong. Adatlah kan dalam ramai-ramai mesti ada juga yang jenis mulut tak da insuran, tapi bila ada yang sabar itulah penyelamat
ReplyDeleteAllah.. semoga mama dan adik beradik sentiasa bermuafakat dan bersatu hati.. Aamiin..
ReplyDelete